Tajuk: Di Bawah Lindungan Ka’abah
Penulis: Buya Hamka
Halaman: 87
Cetakan pertama: 2015
Sambungan daripada novel cinta Merantau ke Deli, aku memilih untuk menghabiskan buku ini, kerana ianya sangat nipis. Ibarat movi pendek. Perkataan-perkataan yang ditulis sangat indah. Sangat tersusun dan sangat bersih, sesuai dengan tajuk.
Kerana dah berjaya menghabiskan 3 buku, jadi aku beli lagi 3 buah buku. Padahal buku-buku yang aku beli mudah sahaja aku pinjam daripada perpustakaan awam tapi mengenangkan perangai aku yang entah bila boleh habiskan bacaan, jadi aku beli sahajalah. Sekurangnya rasa ada guna juga duit aku ke arah kebaikan.
Tema juga berkisarkan soal percintaan yang hingga ke hujung nyawa tidak dijodohkan bersama. Kedua-duanya memendamkan perasaan sendiri hingga Hamid membawa diri jauh dari Zainab. Pergi ke kota suci Mekah, menyerahkan diri kepada yang Maha Esa. Zainab yang meratapi pemergian Hamid, hingga akhirnya walaupun sudah tahu Hamid masih hidup, nyawa Zainab sudah tidak lama. Dan selepas itu, Hamid juga pergi menghadap tuhan. Satu perkataan; tragis.
Agaknya aku takkan pernah faham kenapa 3 novel cinta Hamka, Merantau ke Deli, Di bawah Lindungan Ka’abah dan Tenggelamnya Kapal Van Der Wick mempunyai tema yang lebih kurang sama, kisah cinta yang tidak kesampaian. Sisi realiti perhubungan manusia yang bukan selalu indah, mungkin. Dan, barangkali juga Hamka mahu mengatakan bahawa kehidupan ini adalah lebih daripada itu.
‘Cinta itu adalah jiwa; antara cinta yang sejati dengan jiwa tak dapat dipisahkan, cinta pun merdeka sebagaimana jiwa. Ia tidak memperbedakan di antara derajat dan bangsa, di antara kaya dan miskin, mulia dan papa.’ -halaman 27
‘Cinta itu kadang-kadang hanya menurut perintah hati, bukan menurutkan pendapat otak’ - halaman 32
‘Yang amat ajaib ialah peperangan di antara otak dan hati. Beberapa saat dia dapat dilupakan dan hati mengikut dengan patuh apa kehendak otak. Tetapi bila kelihatan rumah tangganya, atau kelihatan rupanya sendiri, dan kadang-kadang bila namanya disebut orang, hati lupa akan perintah otak, ia kembali berdebar ia surut kepada kenangan-kenangannya yang lama.’ -halaman 35
‘..saya takut akan terjatuh ke dalam jurang cinta, tetapi orang mengabarkan bahawa takut itu pun setengah daripada rupa cinta juga.’ - halaman 64
‘Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap manusia. Ia laksana setetes embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lain menerimanya.’- halaman 67
Labels: Her Book Review, Her Books, Her Note to Self, Her Quotes, Her Thought